Thursday, September 1, 2016

TunM berikrar bahawa BERSATU yang ditubuhkannya akan memulihkan demokrasi dan kedaulatan undang-undang



Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berikrar bahawa parti politik baru yang ditubuhkanya akan memulihkan demokrasi dan kedaulatan undang-undang yang dinafikan dan disalah-gunakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. 
Mahathir selaku pengerusi pro-tem Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berkata demikian ketika menjelaskan keperluan untuk parti baru itu dalam posting di blog terbarunya.
Katanya, beliau terkejut apabila ramai yang mengajukan soalan mengapa BERSATU ditubuhkan.
Jelasnya, parti baru itu mampu memulihkan kegemilangan negara yang lalu.
Mahathir, yang mengetuai negara ini selama 22 tahun, berkata beliau telah meneliti nasib parti-parti yang memperjuangkan kemerdekaan di negara-negara lain.
"Kebanyakan mereka kini lenyap. Mereka tewas kepada parti baru yang dibentuk selepas kemerdekaan kerana selalunya lupa tujuan parti berkenaan dibentuk, dan menyalahgunakan kuasa yang diberikan untuk kepentingan peribadi.
"Umno telah bertahan begitu lama. Tetapi di bawah Najib ia terlupa sepenuhnya tujuan ia ditubuhkan.
“Najib telah memalukan negara yang pernah dikagumi ini. Seluruh dunia memandang hina Najib sebagai menteri kewangan yang paling teruk Malaysia dan segala salah lakunya," katanya.
Bekas perdana menteri itu berkata hanya parti baru boleh memulihkan kegemilangan negara semula.
Meskipun penduduk bandar yang canggih dan berpendidikan tinggi percaya bahawa politik perkauman tidak lagi sesuai dengan peredaran masa, Mahathir berkata keadaan akar umbi adalah berbeza.
"Bagi penduduk di luar bandar yang sebahagian besarnya miskin, bangsa bukan sahaja penting tetapi mereka percaya adalah perlu demi kesejahteraan mereka. Umno popular kerana ia adalah sebuah parti perkauman.
"Jika parti baru mahu bersaing dengan Umno, ia mesti memberi rakyat di kawasan luar bandar dan kawasan bandar yang kurang canggih, keselesaan yang berkaitan dengan perkauman oleh Umno," katanya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...