Thursday, September 1, 2016

'Pengesahan Najib sebagai MO1 berita baik buat SPRM'

Ekoran pengesahan kerajaan bahawa “Malaysian Offcial 1” adalah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, PAS menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kembali kertas siasatan bagi kes 1MDB.
Malah, Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata pengakuan yang dibuat Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan itu sepatutnya menjadi berita baik kepada Pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad yang kini giat membanteras rasuah.
“SPRM perlu membuka kembali kes 1MDB dan dana masuk ke akaun PM dengan menyiasat segala dakwaan DOJ (Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat) secepat mungkin agar pihak luar tiada peluang untuk mencampuri urusan pentadbiran negara.
“SPRM juga perlu menggesa Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali untuk menilai kes 1MDB semula,’ kata Tuan Ibrahim dalam satu kenyataan petang ini.
Jaringan media British BBC hari ini melaporkan Rahman sebagai mengesahkan MO1 adalah Najib.
MO1 dirujuk sebanyak 36 kali dalam saman sivil DOJ berkaitan penyelewengan dana 1MDB.
Rahman dilaporkan sebagai berkata “Jelas sekali jika kamu membaca dokumen berkenaan, ia adalah perdana menteri".
Beliau yang juga pengarah strategi BN berkata DOJ tidak menyebut nama sebenar kerana Najib bukan sebahagian daripada siasatan.
DOJ menyifatkan MO1 sebagai pegawai kanan kerajaan yang sebelum ini disiasat oleh pihak berkuasa Malaysia kerana mempunyai AS$681 juta dalam akaun bank peribadinya.
Kabinet setuju?

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata Putrajaya juga perlu tampil memberi penjelasan selepas pengesahan terbuka Rahman.
“Terima kasih Datuk Abdul Rahman Dahlan yang mengesahkan bahawa Malaysian Official 1 sememangnya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
“Cuma, ramai tertanya-tanya apakah pengakuan ini mendapat persetujuan kabinet dan juga PM sendiri?
“Alang-alang Abdul Rahman telah mendedahkan siapa MO1, bolehlah beliau bantu menjawab apakah betul duit 1MDB yang telah masuk ke akaun PM dan apakah cerita bahawa duit di akaun itu daripada dermawan Arab itu dongeng semata-mata?” Soal Tuan Ibrahim.
Riza Aziz, anak tiri Najib dan Jho Low, seorang ahli perniagaan yang dilaporkan rapat dengan keluarga perdana menteri, juga dinamakan dalam saman DOJ itu.
Turut dinamakan adalah pegawai kerajaan Abu Dhabi, Khadem Abdulla Al-Qubaisi dan Mohammed Ahmed Badawy Al-Husseiny.
Apandi telah membersihkan Najib daripada sebarang salah laku dan berkata wang diterima Najib daripada keluarga diraja Arab Saudi.
Najib menafikan salah laku dan berkata beliau tidak pernah mengambil wang rakyat untuk kepentingan peribadi.
Sumber MalaysiaKini

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...