Tuesday, September 6, 2016

Najib MO1 dan Duit 1MDB Biayai Empayar Hiburan

BUAT kali kedua Pengarah Strategik Barisan Nasional, (Datuk) Abdul Rahman Dahlan dilaporkan telah menamakan Perdana Menteri, (Datuk Seri Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sanrobone) Mohd Najib Abdul Razak, sebagai orang yang digelar “Malaysian Official 1” (MO1) oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ)
Tetapi konco, macai dan balaci Najib kelas mamat dan pemakan dedak tetap 
menafikan. Mereka mencari berbagai-bagai helah dan alasan untuk menimbus
 bangkai gajah Tok Mia yang reput dan busuk.

Ahli Parlimen BN Langkawi, Nawawi Ahmad, misalnya cuba mengabui mata 
rakyat jelata dengan mengaitkan MO1 dengan Yang di-Pertuan Agong. Dia 
kemudian memohon maaf atas perbuatan bodohnya setelah menyalahkan 
orang lain kononnya menyalahtafsirkan kenyataan beliau.

Tetapi pengesahan Abdul Rahman ini bukan calang-calang pengesahan. Ia 
adalah pengesahan taraf  Kabinet dan standard global oleh salah seorang 
pembela terulung Perdana Menteri.

Ia bukan pengakuan lawak standard Ahli Parlimen Langkawi. Ia pengesahan 
rasmi yang dibuat bukan kepada media arus perdana tempatan yang boleh 
diperkotak-katikkan tetapi kepada penyiar global – British Broadcasting 
Corporation (BBC). Bukan sebarang orang boleh dapat “airtime” di BBC. 

Jadi, akibat pengesahan Abdul Rahman itu bertambah kuat dan jelaslah bukti
 yang selama ini cuba dipertikaikan iaitu Najib adalah numero uno – orang 
nombor satu – 1MDB.

Atau adakah Abdul Rahman juga akan buat macam Ahli Parlimen Langkawi 
dengan mengatakan kenyataan beliau diputarbelitkan atau disalah takrif? 
Boleh buat tapi sudah terlambat.

Masih Tak Percaya?


Soalnya, dengan pengesahan kepada BBC oleh Abdul Rahman bahawa MO1
 adalah Najib, masih adakah lagi konco, macai dan balaci pemakan dedak 
akan cuba putar-belit dan adakah lagi pihak yang tidak percaya?

Ini termasuklah para ulama dan agamawan PAS. Berpandukan pengalaman
 lalu, saya rasa segelintir mereka akan terus tidak percaya walaupun 
pengakuan itu dibuat oleh menteri Najib sendiri.

Kita sudah lihat macam mana Presiden PAS, (Datuk Seri Tuan Guru) 
Haji Abdul Hadi Awang, dan Mursyidul Am(Datuk Tuan Guru) Haron Din
dengan keras menafikan pembabitan Najib dalam dakwaan salah guna 
kuasa dan rasuah berkaitan 1MDB.

Malah mereka kini menjadi kayu penongkat mahligai politik Najib yang 
condong dan goyang.

Tetapi penafian Abdul Hadi dan Haron menjadi semakin sukar dipercayai 
dan dipertahankan dengan semakin banyaknya pendedahan baru yang 
sangat sensasi mengenai penipuan dan penyelewengan duit 1MDB.

Sebelum Abdul Rahman menggugurkan bom nuklear ke atas Najib, media 
massa antarabangsa melaporkan kemungkinan sebahagian duit yang 
disonglap daripada 1MDB telah digunakan untuk membiayai empayar hiburan
 antarabangsa milik seorang Arab.

Kelab malam Las Vegas ini dikatakan dibiayai duit curi 1MDB
Laporan itu mengatakan bahawa pada 18 Ogos lalu, seorang Arab bernama 
Khadem Abdullah al-Qubaisi telah ditangkap oleh pihak berkuasa Abu Dhabi
 kerana disyaki menyelewengkan duit sebanyak AS$470 juta
 (kira-kira RM1.8 bilion) dalam urusan usaha sama negara itu dengan 1MDB.

Apa yang al-Qubaisi dituduh buat dengan duit itu saya rasa Abdul Hadi,
 Haron dan semua orang PAS boleh faham. Cuma sama ada mereka hendak
 mengaku atau tidak.

Al-Qubaisi ditahan oleh pihak berkuasa Abu Dhabi
Al-Qubaisi adalah orang di belakang Hakkasan Group, sebuah empayar
 hiburan yang memiliki kelab malam, hotel dan restoran mewah di merata 
dunia.

Kalau betul alasan penangkapan al-Qubaisi oleh pihak berkuasa Abu Dhabi itu,
 jelaslah duit yang disonglap daripada 1MDB telah digunakan untuk kegiatan
 yang dilarang oleh Islam.

Tak tahulah saya kalau Abdul Hadi dan Haron boleh meyakinkan kita bahawa
 kelab malam Hakkasan di bandar raya judi Las Vegas itu patuh Syariah.

Yang sudah jelas adalah sebahagian duit yang dibocorkan daripada 1MDB
 telah digunakan oleh anak tiri Najib, Riza Shahriz Abdul Aziz, dan rakan
 kongsinya, Jho Low untuk membiayai penerbitan filem separuh lucah
 “The Wolf of Wall Street” serta membeli kediaman mewah di Amerika 
serta lukisan mahal. Harta itulah yang hendak dirampas oleh DoJ melalui
 saman sivilnya di Los Angeles.

Tapi kalau Abdul Hadi dan Haron tak faham lagi atau tak peduli, saya tak tahu
 apa nak kata. Nak kata mereka masih tunggu empat orang saksi misteri pun
 tak masuk akal juga sebab satu dunia sudah tahu.

Susah nak fikir. Nak tuduh atau syak mereka terima dedak daripada Najib 
tentu tak kena pada tempatnya sebab mereka orang agama.

Masakan ulama besar sanggup jadi tali barut dan bersekongkol sembunyi
 perbuatan salah yang membebankan rakyat jelata sekarang dan pada masa 
akan datang?

Wallahuaklam.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...