Saturday, September 17, 2016

Ini rumah saya Ini rumah anda Ini rumah kita...


Malaysia ialah sebuah negara yang didorong gagah oleh 30 juta rakyat
Bukan negara yang dipenjara lemah oleh segelintir pengkhianat
Malaysia ialah sebuah negara berbilang kaum
Bukan negara berbangsa satu, tapi negara untuk semua kaum bersatu.
Malaysia ialah sebuah negara yang menyatukan kita melalui persamaan dan meraikan perbezaan,
Bukan negara yang menindas suara berlainan pendapat, suara kemajmukan, suara rakyat.
Malaysia ialah sebuah negara wasatiyyah,
Bukan negara ketaksuban, perkauman dan tiada toleransi.
Malaysia ialah sebuah negara yang meraih kemerdekaan menerusi usaha getir segenap lapisan masyarakat,
Bukan negara yang merdekanya berkat hanya segelintir rakyat.
Malaysia ialah negara Nasi Lemak, Roti Canai, Char kway teow, Mee Kolok, Banana Leaf rice dsbg,
Bukan negara kehomogenan tetapi negara kepelbagaian
Malaysia ialah sebuah negara yang tabah
Bukan negara menyerah kalah, negara tidak acuh, negara yang berserah.
Ayahanda kita pernah berjuang menentang British, Portugis, Jepun dan Komunis bersama-sama sebagai satu kuasa kuat.
Saya pasti bahawa penindasan hari ini tidak seteruk penindasan dalam sejarah.
Walaupun begitu, adalah harapan saya agar obor istiqamah dan tabah yang wujud satu masa dahulu masih belum terpadam apinya.
Ayahanda kita, Tunku Abdul Rahman, Tun Tan Cheng Lock, Tun V. T. Sambanthan,Temenggong Jugah anak Barieng, Datu Bandar Abang Haji Mustapha, dan Ling Beng Siew berjuang demi satu impian, satu harapan
Agar rakyat Malaysia bersatu
Jangan benarkan segelintir pengkhianat merompak impian kita
Jangan berserah dan menyerah kepada mereka yang ingin memecahbelakan kita
Jangan mengalah dalam kesusahan,
Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.
Ini rumah saya
Ini rumah anda
Ini rumah kita
Rumah kita hingga ke titisan darah yang terakhir.
Selamat Hari Malaysia 




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...