Friday, July 3, 2015

MESEJ UNTUK RAKYAT MALAYSIA



MESEJ UNTUK RAKYAT MALAYSIA
Kebelakangan ini, saya hanya menyuarakan pandangan supaya mereka yang diberikan amanah jangan salahkan rakyat kerana hilang keyakinan dan kepercayaan terhadap anda, tetapi fikirkanlah mengapa rakyat telah hilang keyakinan dan kepercayaan terhadap anda. Nampaknya teguran saya secara baik ini telah mendapat maklum balas yang kasar daripada seorang menteri. Kalau saya mendapat jawapan sedemikian, apa harapan untuk teguran rakyat lain didengar?
Anda seorang menteri, bukannya tuhan dari syurga yang tidak boleh ditegur. Jangan fikir rakyat negara ini wujud untuk memberikan anda jawatan dan kekayaan, tetapi jawatan tersebut wujud supaya anda memberikan khidmat kepada rakyat. Apabila saya bersuara, saya melakukannya sebagai pemimpin rakyat saya, rakyat Johor dan Malaysia. Saya hanya mengingatkan para pemimpin negara ini bahawa mereka mempunyai tanggungjawab untuk berkhidmat kepada rakyat, dan nampaknya oleh sebab itu saya diserang.
Dalam aturan dunia yang baru, saya membayangkan masa depan di mana setiap orang mempunyai hak menyuarakan pendapat masing-masing. Namun, keadaan di Malaysia pada hari ini tidaklah begitu, menteri-menteri pantang ditegur. Saya rela dicemuh untuk mempertahankan perkara yang benar, daripada disanjung untuk membela perkara yang salah.
Saya bukan ahli politik. Saya hanya bertanggungjawab kepada Allah, Sultan saya, dan rakyat Johor. Saya bukannya menjalankan suruhan seperti boneka. Johor hanya mempunyai tempat bagi mereka yang mahu berkhidmat kepada rakyat, bukan untuk mereka yang mahu meraih undi demi kepentingan peribadi.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...