Friday, July 3, 2015

Bekerja keras melindungi penyelewengan 1MDB

Sudah beberapa hari nampaknya berlegar-legar kaki penipu di dalam media sosial yang mengatakan bahawa wang di dalam usahasama 1MDB dan Petrosaudi tidak lesap. Para penipu ini tanpa segan silu memaparkan kejahilan mereka kepada semua rakyat Malaysia apabila tidak memahami isu dan fakta yang sebenar.
Apa yang hanya mereka tahu adalah, kedudukan Perdana Menteri dan reputasi 1MDB harus diselamatkan demi menjaga periuk nasi mereka sendiri.
Ada banyak pesanan ringkas yang disebarkan di dalam Whats App. Antara yang disebarkan kepada orang ramai adalah:
“Dalam usahasama 1MDB – Petrosaudi, TIADA WANG YANG LESAP. Jika sebanyak USD1.83 bilion dilaburkan dan sebanyak USD 2.318 bilion dikembalikan, ia bukan dipanggil LESAP, tetapi bertambah. “LESAP” ini hanya khayalan dan ilusi Tun Dr Mahathir, pemimpin-pemimpin pembangkang dan juak-juak mereka.”
 

Kita tertawa mendengar celoteh mereka yang dangkal ini. Sedangkan 1MDB sendiri mengaku bahawa wang tunai USD1 billion yang dilaburkan oleh mereka pada tahun 2009 di dalam syarikat usahasama mereka dengan Petrosaudi telahpun ditukarkan menjadi pinjaman kepada syarikat tersebut di dalam tahun 2010.
Sepanjang tahun 2010 dan 2011, 1MDB telah melabur lagi sebanyak USD830 juta ke dalam syarikat tersebut (dan digantikan sebagai pinjaman) walaupun usahasama telah ditamatkan di dalam bulan Mac 2010. Walhal, 1MDB bukanlah dicipta dan diberi mandat untuk memberi pinjaman kepada syarikat asing.
Kertas pinjaman (bukan wang tunai) tersebut yang sepatutnya bernilai USD1.83 billion kemudiannya ditukar pula menjadi sijil saham di dalam anak syarikat Petrosaudi yang lain pada 1 Jun, 2012.
Hanya selang empat bulan kemudian iaitu pada 12 September 2012 1MDB menjual pula sijil saham tersebut tetapi 1MDB tidak mendapat balik wang tunai bahkan sijil saham tersebut telah ditukar menjadi ‘unit-unit pelaburan’ di dalam bentuk yang tidak diketahui dan unit tersebut yang dinilai semula menjadi USD2.318 billion telah disimpan di dalam satu lagi anak syarikat 1MDB yang baru ditubuhkan bernama Brazen Sky.
Wang 1MDB melompat lompat dari satu syarikat ke satu syarikat di dalam jangkamasa yang sekejap, di dalam pelbagai bentuk, dan akhirnya bertukar menjadi ‘unit’.
Oh ya, Brazen Sky hanyalah ditubuhkan di dalam bulan Ogos tahun 2012 di mana 1MDB memegang USD1 sebagai 100% pemegang saham. Bayangkan, satu syarikat baru yang mempunyai saham cuma USD1 diberi kepercayaan oleh 1MDB untuk mengendali unit unit kononnya sebanyak USD2.318 billion tersebut.
Apabila kita bertanya mengapa kita hanya dikembalikan unit dan bukan wang tunai, 1MDB menemplak para penyoaldengan mengatakan jawapan sudah diberi berulangkali. Yang hanya diberi adalah jawapan bagaimana wang USD1.83 billion telah bertukar menjadi unit sebanyak USD2.318 billion.
Itu semua sudah tahu. Yang kita mahu tahu ialah, mengapa 1MDB begitu bodoh memberi wang tunai, yang telah digunakan sesuka hati oleh syarikat arab tersebut dan sebagai ganti, kita mendapat unit sahaja? Mana perginya wang asal USD1.83 billion tersebut?
Unit-unit inilah yang para penipu di atas mengatakan bahawa tiada wang yang lesap. Ini semua taktik untuk mengaburi mata rakyat yang tidak arif dalam hal 1MDB sahaja. Akan tetapi bagi mereka yang tahu, dan tidak tertipu dengan dakyah tersebut, penipuan sebegini dipandang hina sama sekali.
Daripada 1MDB memberi berbillion billion ringgit duit pinjaman kepada syarikat asing yang mencurigakan, alangkah baiknya jika wang tersebut dilaburkan di dalam negara kita sendiri?
Hakikatnya, wang tunai yang dilaburkan telah lesap, dan di dalam tangan 1MDB hanyalah kertas kertas yang dipanggil unit. Menteri Kewangan II pun mengaku bahawa wang tunai yang sepatutnya menjadi hak kita rupa rupanya sudah berubah menjadi unit. Apabila ditanya apakah bendanya unit itu, beliau menjawab “units, just units” (unit, cuma unit) tanpa memberi jawapan yang lebih komprehensif dan bermakna.
Amat malang sekali apabila setiap kali 1MDB menjawap soalan, ianya tidak menumpukan kepada perkara asas yang ditanyakan. Malah, mereka memberi jawapan yang berdolak dalih dan tidak jujur.
Pada mulanya 1MDB mengatakan ianya adalah tunai, dan diperakui oleh Perdana Menteri sendiri di dalam Parlimen. Malangnya, apabila penipuan mereka diketahui, Kementerian Kewangan menukar jawapan Perdana Menteri kepada ‘units’.
Bayangkan apabila kita melabur di dalam bank sebanyak RM1,000 ringgit, dalam masa dua tahun, bank kembalikan kepada kita hanya kertas pelaburan dipanggil unit. Kita tidak boleh menukarkan unit ini menjadi wang tunai di bank bank lain atau di mana sahaja kerana nilainya tidak diakui oleh pihak pihak lain.
Sedangkan Deloitte, iaitu auditor 1MDB sendiri mencurigai kesahihan jumlah tersebut bilamana di dalam laporan audit 2014 mereka, unit unit ini telah diklasifikasikan sebagai aset kelas ketiga iaitu, kesahihan nilai aset tersebut tidak dapat ditentukan secara jitu.
Inilah masalah yang dihadapi oleh 1MDB. Mereka sudah tidak mempunyai kecairan wang.
Jika inilah tahap kepandaian para penipu tersebut maka tidak hairanlah apabila 1MDB sendiri mengalami kerugian sebanyak RM665 juta pada tahun 2014 dan jumlah hutang sebanyak RM42 billion!
Apabila guru kencing berdiri, anak murid kencing berlari. Kerugian RM665 juta bukanlah satu jumlah yang kecil.
Bayangkan sebegitu banyak kerugian yang dialami. Disertakan pula oleh jumlah hutang yang tidak mampu dibayar.
Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga.
Ini baru jumlah kerugian di tahun 2014. Bagaimanakah agaknya kerugian dan jumlah hutang 1MDB di dalam tahun 2015? Mungkin amat dahsyat sekali. Sebab iu mereka terketar ketar melambatkan proses pengauditan oleh Deloitte. Apa pun alasan mereka, hingga kini Deloitte masih belum mengaudit akaun 1MDB untuk tahun berakhir 30 Mac 2015.
Kasihan sungguh dengan rakyat Malaysia kerana terpaksa menebalkan muka menagih simpati dari IPIC untuk membayar hutang RM975 juta pada awal bulan Jun yang lepas.
Dan sekarang pula kita disodokkan lagi dengan rayuan kepada IPIC untuk membayar hutang hutang 1MDB yang lain.
Malulah rakyat Malaysia kerana akibat kealpaan Menteri Kewangan I di dalam menerajui 1MDB, Malaysia terpaksa merayu syarikat dari Tanah Arab untuk mengampunkan hutang-hutang kita (debt forgiveness). Nampak sangat kita orang Malaysia tidak tahu berniaga.
Apa lagi bukti yang juak juak berkulit tebal ini perlukan? Apa lagi bukti yang kita rakyat Malaysia perlu tunjukkan kepada mereka bahawa 1MDB adalah satu syarikat yang telah jauh menyeleweng?
Jika betul 1MDB tidak mempunyai masalah, mengapa perlu Kementerian Kewangan memberi ‘standby credit’ kepada 1MDB sebanyak RM950 juta pada bulan Mac lepas? Mengapa juga perlu meminta bantuan dari syarikat asing untuk menyelamatkan mereka? Adakah 1MDB tidak mempunyai wang langsung?
Orang arab sudah ambil wang USD1.83 billion kita, orang Malaysia pula yang terkucar kacir ingin melindungi penyelewengan yang berlaku. Malah pemimpin Malaysia sanggup menipu rakyat Malaysia untuk menutup kebodohan sendiri. Kejujuran perlulah ada. Jika sesuatu tidak betul berlaku, amanah yang diberi mengarahkan kita untuk bersikap jujur di dalam mengaku kesilapan.
Dalam masa yang sama, mereka yang cuba melindungi penyelewengan 1MDB tidak perlulah menipu diri sendiri dengan cara memperbodohkan orang lain. Jika tidak faham rentetan wang pelaburan 1MDB di dalam Petrosaudi, jika jawatan lebih penting dari kebenaran dan masih berdegil mahu membutakan hati, maka tidak perlulah berhujah mengenai 1MDB. Nampak sangat termakan dengan khayalan dan ilusi yang dicipta sendiri.
Sekian, terima kasih.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...