Monday, October 3, 2016

Parti baru pilihan Lajim, tidak sertai Shafie


Bekas pemimpin tertinggi PKR Sabah Datuk Lajim Ukin berkata beliau akan memimpin sebuah parti baru dan tidak akan menyertai pertubuhan diketuai Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Menurut bekas timbalan menteri itu permohonan menubuhkan parti baru itu sudah dibuat di Pendaftar Pertubuhan pada 19 September lalu.

Proses itu kata Lajim dijangka tidak berdepan dengan sebarang masalah dan berharap ia akan diluluskan tidak lama lagi.

Bercakap kepada media di Kota Kinabalu Lajim menjelaskan partinya itu bagaimanapun tidak ada masalah bekerjasama dengan parti pimpinan Shafie.

"Apa yang penting ialah kita tidak mahu bertembung dan bersaing dengan pemimpin lain di kerusi sama.

"Kita boleh berunding dengan parti tempatan berbanding parti nasional (yang berpangkalan di semenanjung)," katanya dipetik Malay Mail Online hari ini.

Terdahulu Lajim mengumumkan keputusannya keluar dari PKR - bersama dua ADUN lain - bagi memimpin sebuah pergerakan baru berasaskan Sabah.

Mereka ialah ADUN Moyog yang mewakili PKR dalam pilihan raya sebelum ini, Terrence Siambun, serta Junz Wong (DAP - Likas).

Siambun menyatakan beliau akan menyertai parti pimpinan Shafie, manakala Wong belum membuat keputusan rasmi.

Lajim yang juga ADUN Klias memberitahu Sabah tidak sepatutnya dianggap sebagai 'simpanan tetap' kepada mana-mana kuasa politik yang mengharapkan sokongan rakyat negeri itu untuk menguasai Putrajaya.

Kata Lajim satu daripada aspek yang perlu dipertimbangkan dalam rundingan antara parti ialah kekuatan sesebuah parti di Sabah.

Misalnya, kata Lajim, Shafie yang mempunyai pengaruh besar di bahagian timur Sabah.

Shafie adalah anggota parlimen Semporna dan pernah menjadi naib presiden Umno sebelum membuat keputusan meninggalkan parti berkenaan baru-baru ini.
Lajim dan Shafie pernah bersama-sama dalam Umno sebelum ini.

Kata Lajim kira-kira 70 peratus ahli PKR menyokong tindakannnya meninggalkan parti berkenaan untuk memimpin parti baru tempatan.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...