oleh Shahbudin Husin
Bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad dilaporkan dalam peringkat akhir untuk menubuhkan sebuah parti politik baru sebagai wadah pilihan bagi meneruskan usahanya untuk menjatuhkan Najib Razak yang terpalit dengan skandal kewangan terbesar serta untuk memulihkan kembali imej negara yang sudah tercalar teruk di peringkat antarabangsa.
Difahamkan bahawa beliau akan mengambil alih sebuah parti politik sedia ada yang tidak aktif dan kemudian akan menukar nama serta perlembagaannya mengikut kesesuaian perjuangan yang ingin dibawanya.
Parti baru ini akan memberi fokus untuk menarik ahli-ahli UMNO yang tidak setuju dan menyampah dengan Najib untuk menyertainya, selain rakyat biasa yang sealiran dengan perjuangan bekas Perdana Menteri itu.
Bersama Muhyiddin Yassin dan Mukhriz Mahathir yang akan turut bersama parti baru itu, ia akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan untuk menentang BN dalam pilihanraya umum akan datang.
Tun Mahathir bagaimanapun tidak akan bertanding dalam pilihanraya, sebaliknya hanya berperanan untuk memastikan kelancaran perjalanan parti dan kerjasama mantap dapat dijalinkan dengan Pakatan Harapan.
Shafie Apdal diberitakan kemungkinan besar tidak bersama parti baru ini, sebaliknya akan menubuhkan sebuah parti lain yang memberi fokus untuk Sabah, tetapi tetap bekerjasama dengan Pakatan Harapan untuk memastikan leburnya “simpanan tetap” BN di negeri itu .
Dengan adanya parti baru inisiatif Tun Mahathir ini, ia adalah peluang terbaik untuk rakyat dan pengundi membuat pilihan yang lebih baik bagi menyelamatkan negara dalam pilihanraya nanti. Ini kerana, walaupun UMNO dan BN ada jasa-jasanya yang tersendiri, selagi ia dipimpin oleh Najib, segala-galanya tidak bermakna lagi dan lebih memudaratkan negara.
Ketuanan Melayu
UMNO, BN dan kerajaan di bawah Najib tidak lebih sebagai alat mengumpul kekayaan dan mencuri harta negara atas nama ketuanan Melayu yang hanya dibalas dengan “jemput-jemput manis” bernama BR1M tanpa mereka sedari ia kemudian ditarik balik melalui GST, pembatalan beberapa subsidi serta penambahan beberapa kenaikan kos kehidupan lainnya.
Oleh kerana Najib telah menutup semua ruang untuk melawan dan menjatuhkannya secara dalaman melalui UMNO, satu-satunya jalan yang ada ialah melalui pilihanraya. Inilah tujuannya Tun Mahathir menubuhkan parti baru dan bekerjasama dengan Pakatan Harapan.
Ini bermakna dalam pilihanraya akan datang, menyokong UMNO dan mengundi BN bermakna memberi ruang untuk Najib terus berkuasa dan kita akan terus “sakit hati” atau memendam rasa dengan pelbagai karenahnya, perangai bini serta lain-lain kelakuan keluarga dan kerabatnya.
Kiranya sekarang ada Jho Low dan 1MDB, jika terus diberi kuasa, tidak mustahil akan muncul dua tiga Jho Low dan model perniagaan mirip 1MDB lagi di depan mata kita.
Memilih lawan BN yang turut dianggotai parti baru tajaan Tun Mahathir pula, secara langsung akan membawa sinar baru kepada negara, memberi harapan pelbagai masalah negara diselesaikan, kebenaran Laporan Audit 1MDB diketahui, ke mana hilangnya wang RM28,000 juta milik syarikat pelaburan dikenalpasti lorong menyelinapnya dan mungkin cukai GST juga bakal diturunkan kadarnya.
Gabungan parti baru, jika diberi kuasa, biasanya akan menawarkan lebih banyak kebaikan untuk rakyat agar terus disokong dan diberi undi dalam pilihanraya seterusnya. Gabungan lama seperti BN, untuk terus berkuasa dan jika dipilih semula, gayanya asyik-asyik mengungkit jasa dan budi lama untuk menghalalkan rompakan demi rompakan yang seterusnya.
Melayu harus berani membuang stigma
Dalam hal ini, baik orang Melayu yang belum berparti atau ahli-ahli UMNO sedia ada, mereka harus berani membuang stigma lama seolah-olah hanya UMNO dan BN saja yang boleh memegang kuasa.
Lihat saja di Selangor, sudah banyak kebaikan yang ditampilkan oleh kerajaan baru untuk rakyat sejak 2008 lalu. Bayangkan keadaannya jika BN tidak kalah dan Khir Toyo atau Noh Omar menjadi Menteri Besar Selangor ketika ini.
Oleh itu, orang Melayu mesti berani berubah dan jangan takut berhijrah. Jangan lupa, disebabkan keberanian berhijrahlah yang menyebabkan Islam dapat berkembang sehingga hari ini.
Mungkin ada yang sangsi apa perlunya parti baru Tun Mahathir ini bergabung atau bekerjasama dengan Pakatan Harapan. Bergabung dengan parti-parti pelbagai kaum adalah kewajaran yang tidak dapat dielakkan kerana itulah wajah sebenar negara kita.
UMNO sendiri bekerjasama dengan MCA, MIC, Gerakan dan pelbagai parti di Sabah dan Sarawak untuk menjadikannya relevan mentadbir negara ini.
Jika UMNO bertanding sendirian dan tidak disokong oleh parti-parti lain, riwayatnya juga sudah lama berakhir. Oleh itu, keperluan parti baru inisiatif Tun Mahathir bersama Pakatan Harapan adalah juga untuk menjadikannya relevan mengambil alih kuasa daripada BN.
Dengan keyakinan dan keberanian, perubahan yang diinginkan akan sentiasa menghampiri kita.
No comments:
Post a Comment