Monday, April 3, 2017

*NAJIB YANG ARAH POLIS BATALKAN DEBAT NAZRI - TUN MAHATHIR*


1. Adalah sangat melucukan apabila pihak polis telah 2 kali terpaksa membatalkan debat di antara Dato' Seri Nazri Aziz dan Tun Dr Mahathir Mohamad di atas alasan bimbang berlakunya kekecohan di kalangan penyokong-penyokong kedua belah pihak.

2. Sebenarnya Dato' Seri Najib Razaklah yang bertanggungjawab mengarahkan debat tersebut dibatalkan kerana beliau terlalu bimbang kesan perdebatan itu akan menelanjangkan bagaimana penglibatan beliau dan kroninya dalam isu Skandal 1MDB.
3. Saya yakin dan percaya bahawa Tun Dr Mahathir bukan sahaja akan mendedahkan fakta sedia ada berkaitan 1MDB tetapi Tun juga akan mengemukan bukti-bukti terkini yang beliau terima untuk memastikan rakyat yakin bahawa Najib mengamalkan kleptokrasi terhadap dana awam bagi kepentingan peribadi dan keluarga beliau.
4. Ahli-ahli Umno berhak untuk merasa malu dan aib kerana meskipun begitu ramai pimpinan Umno, hanya Dato' Nazri Aziz satu-satunya memiliki kejantanan untuk berdepan dengan Tun Dr Mahathir. Malang yang "jantan" seorang ini pun pihak polis diarah untuk menghalangnya untuk menyelamatkan kedudukan serta masa depan Najib.
5. Sekali lagi saya menyatakan sekiranya saya berada di tempat Najib, sayalah sendiri akan menentang Tun Mahathir demi mempertahankan maruah kerajaan, negara dan nama baik keluarga Tun Razak. Daripada hidup bercerminkan bangkai, baiklah mati bergalangkan tanah. Najib harus buktikan kejantanannya jika dia berada di pihak yang benar.
*SALAHUDDIN HAJI AYUB*
Timbalan Presiden
Parti Amanah Negara (Amanah)
3 April 2017

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...