Melayu
Pelbagai usaha telah dilakukan pemimpin terdahulu untuk meningkatkan taraf hidup serta memajukan bangsa melayu namun kini penyelewengan, penyalahgunaan kuasa, kronisme, nepotisme, rasuah dilihat lebih berkuasa serta hampir menghancurkan apa jua yang diusaha sebelum ini.
Perniagaan Bumiputra termasuk agensi kerajaan yang diswastakan kebanyakannya diselaputi dengan krisis pengurusan. Kini FELDA, RISDA, FELCRA, MARA adalah antara konglomerat Melayu yang menghadapi pelbagai kemelut penyalahgunaan kuasa dan rasuah.
Aset ekonomi orang Melayu juga didapati semakin mengecil. Premis perniagaan hanya meliputi sekitar 6% sahaja daripada keseluruhan kawasan perniagaan, pemillikan perumahan kos rendah masih melambangkan ketirisan tahap kuasa beli orang Melayu juga amat terbatas.
Aset tanah orang Melayu yang semakin mengecil akibat dijual, tergadai atau diambil alih oleh kerajaan atas nama pembangunan, merumitkan lagi keupayaan ekonomi orang Melayu.
Ditambah pula peniaga-peniaga kecil Bumiputra diserata bandar sering terdedah kepada pengusiran akibat pihak kerajaan dan pemaju yang sentiasa mengutamakan pembangunan pusat-pusat komersial yang berskala mega.
Sementara itu ekonomi petani dan nelayan kecil, pekebun kecil getah dan peneroka tanah terus terpinggir. Kemiskinan di desa dan di bandar dipenuhi dengan wajah Melayu “hidup berkais pagi makan pagi” bukan lagi suatu fenomena yang sudah berlalu malah terus wujud dan membimbangkan.
Sebahagian pemimpin politik Melayu yang korup terus menjadikan pentas politik sebagai tapak mengumpul kekayaan. Budaya politik Melayu sarat dengan manipulasi kotor sehingga bangsa Melayu menjadi mangsa kepada politik wang, politik kepentingan diri dan politik mengadai kepentingan Melayu.
Cukup memalukan apabila diamati gelagat orang Melayu dalam berpolitik yang mengejar pangkat, gelaran, publisiti murahan. Sementara politik yang seharusnya bersih menjadi kotor dan menjijikkan.
Atas nama mempertahankan kuasa politik mereka sanggup menggadai hak nusa dan bangsa.
Masihkah anda mahu bernaung dibawah sebuah parti yang kononnya dulu membela nasib agama, bangsa dan tanah air?
Yang kian hari rakus menelan titik peluh rakyat jelata?
Lakukanlah perubahan demi masa depan anak dan cucu kita. Ubah dan martabatkanlah kembali maruah bangsa dipentas antarabangsa.
Mahathir Mohd Rais
3 April 2017
3 April 2017
No comments:
Post a Comment