1. BN ternampak celaru kerana tak dapat menentukan Pakatan Harapan (PH) ini didominasi oleh siapa.
2. Najib dan UMNO berhempas pulas mendakwa jika PH menang DAP dan Kit Siang akan mengambil alih negara ini. Ini juga yang diulangi oleh ketua penerangan UMNO. Bila ditanya bagaimana Najib boleh ada 2.6 billion Ringgit dalam akaunnya, Annuar jawab DAP akan kuasai PH.
3. Tak tahulah kerana tak dapat dengarkah atau telinga tersumbat dengan dedak, tetapi yang jelas ialah segala pertanyaan berkenaan 1MDB atau 2.6 billion, jawapannya ialah DAP yang mendominasi PH dan Kit Siang akan jadi Perdana Menteri.
4. Sebaliknya MCA pula mendakwa Kit Siang sudah jual dirinya dan DAP kepada Bersatu. Ini disusuli dengan Raja Petra Kamarudin (RPK) yang mengumumkan kepada dunia bahawa Dr. Mahathir telah sogok Kit Siang dengan 1(Satu) billion Ringgit. Wah! Kayanya saya. Tetapi saya tak gila macam RPK. Kalau saya ada 1 billion, saya akan bina mahligai dan bukan rumah biasa yang diduduki oleh saya.
5. Jangan tanya saya dari mana saya dapat satu billion. Tanya RPK. Jawabnya mungkin Arab bagi. Jika dia tahu saya boleh bagi 1 billion Ringgit kepada Kit Siang dia tentu tahu dari mana saya dapat duit itu. Yang diketahui umum ialah dari mana RPK dapat duit.
6. Yang perlu ditentukan oleh Barisan Nasional ialah siapa beli siapa. Kit Siang beli saya atau saya beli Kit Siang di Malaysia.
7. Bekas wakil Transparency International di Malaysia pula cukup telus dan transparent. Tentulah dia nampak duit 1 billion yang ada pada saya. Dinding setebal 10 kaki pun, matanya boleh tembusi. Apatah lagi duit kertas.
8. Apalah sangat saya ini yang nak ditakuti. Umur sudah 92 tahun. Tak ada duit pun. Jauh sekali nak sogok Kit Siang dengan 1 billion Ringgit pun. Tak pernah bangun apa pun. Tak dilayan seperti Najib oleh Presiden Amerika. Tak dapat sogok Trump dengan 90 billion Ringgit. Tidak dipeluk oleh Presiden kuasa dunia terbesar kerana menyelamatkan ekonomi Amerika Syarikat.
9. Namun saya bangga. Belum ada Perdana Menteri Malaysia yang mampu menyelamatkan kuasa dunia. Tetapi sekarang ada.
10. Tahniah kepada Kerajaan dan Najib dan Menteri-Menteri Barisan Nasional. Kamu sudah “put Malaysia on the world map”. Tahniah.
11. Teruskan dengan kecelaruan. Tubuhkan satu lagi 1MDB. Hutang berbillion lagi. Percayalah kamu akan disokong oleh konco-konco kamu selama-lamanya.
12. Tahniah – Congrats Najib.
13. We are so proud of you.
Tun Mahathir Mohamad
13 Oct 2017
This comment has been removed by the author.
ReplyDelete