Wednesday, October 11, 2017

Dr M: Mahafiraun, Mahazalim 'benda kecil'



Digelar dengan pelbagai nama - termasuk Mahafiraun dan Mahazalim - namun bagi Tun Dr Mahathir Mohamad ia sebagai "perkara kecil".
Berucap di majlis Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di Perak semalam bekas perdana menteri itu berkata beliau sanggup melupakan kecaman berkenaan kerana apa yang lebih penting kini ialah menjatuhkan Datuk Seri Najib Razak.
Justeru katanya beliau terbuka untuk bekerjasama dengan pihak yang pernah memberi label buruk terhadapnya.
Mereka termasuklah veteran DAP Lim Kit Siang dan seorang lagi seteru ketatnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Kita mungkin tidak bersetuju mengenai perkara-perkara tertentu, tetapi kita mesti bersetuju dengan matlamat yang sama ini,” katanya seperti dilapor laman sesawang ismaweb.net.
Dr Mahathir yang pernah menjadi perdana menteri selama 22 tahun kini giat dalam kempennya menjatuhkan Najib dan BN menjelang pilihan raya umum yang mesti diadakan selewat-lewatnya 2018.
Beberapa pihak menjangkakan pilihan raya akan diadakan seawal suku pertama tahun depan kerana BN mahu mengambil peluang daripada situasi pembangkang yang belum bersatu.
BERSATU dilihat giat menjadi jambatan untuk menghubungkan persefahaman antara PAS dengan Pakatan Harapan.
Dr Mahathir mendapat pelbagai gelaran buruk selepas beliau mengetepikan Anwar yang sebelum itu dilihat amat akrab dengannya.
Ketika ini Dr Mahathir dilantik sebagai pengerusi penaja BERSATU.
Menurut beliau semua parti pembangkang perlu mengetepikan sebarang perbezaan dan menumpukan gerak kerja mengalahkan BN dalam pilihan raya.
Semalam Bernama melaporkan Dr Mahathir mengakui sukar untuk pakatan pembangkang menumbangkan kerajaan BN yang ditunjangi 14 parti komponen.
Berucap di Lumur beliau berkata gabungan 14 komponen itu akan saling membantu semasa pilihan raya umum (PRU) dengan mengundi calon yang diletakkan di sesuatu kawasan.
Turut hadir di majlis itu Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden BERSATU, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Read more at https://www.malaysiakini.com/news/358505#rig0Q0qXIjRmJsAT.99

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...